Friday, November 23, 2012

Keadilan Hanya Wujud Pada Pihak yang Mempunyai Penumbuk Yang Kuat


          Baru-baru ini Negara Israel melancarkan lagi serangan ke atas kawasan Gaza. Secara terus terang, saya hanya mampu mengetahui berita ini selepas melihat gambar-gambar yang dikongsi oleh kawan-kawan saya di Facebook. Kisah perang di kawasan timur tengah saya tidak tahu sangat, dan mungkin dalam masa yang akan datang saya akan membuat lebih banyak kajian terhadap kisah mereka. Maka hari ini saya cuba membincang isu ini dengan perspektif yang lain.

          Biasanya bila berbincang pasal konflik antara rakyat Palestine dan Negara Israel, perkara yang pertama datang ke otak saya ialah "rakyat Palestine dizalimi, dikejami dan sebagainya oleh rejim kerajaan Isreal yang teruk itu". Saya rasa tidak dapat dinafikan atau perlu dibincang lagi bahawa sama ada Isreal itu jahat atau tidak. Maka dalam post ini, saya nak cuba mengulas psykologi mereka melakukan perkara yang begitu zalim ini. Seperti apa yang saya sebut pada permulaan artikel ini, saya tidak tahu sangat pasal pergolakkan antara Israel dan rakyat Palestine, maka saya tak tahu sangat apa tujuan muktamad mereka dalam konflik ini. Setahu saya, setiap President US akan mengambil kesempatan berlakon di depan dunia dengan mencadangkan ‘MIDDLE EAST: The Road Map to Peace’, tapi dalam ‘peta’ ini, apakah tujuan muktamad bagi semua negara di timur tengah? Adakah dalam peta ini mencadangkan agar Negara Isreal hidup aman dengan orang Palestine yang berada di sebelah nya?   Adakah keadaan hidup aman antara satu sama lain merupakan harapan kedua-dua pihak?

          Kuasa yang memerintah majoriti kawasan Gaza ialah kumpulan Hamas. Setahu saya, antara satu tujuan perjuangan Hamas ialah menghapuskan dan membubarkan kewujudan Negara Israel (obliteration of dissolution of Israel, sumber: Wikipedia) Maka dengan ada jiran yang cuba menghapuskan dan membubarkan negara kamu, macam mana mungkin kedua dua pihak ini mampu hidup secara aman damai? Mungkin ada pihak yang mengatakan Negara Israel itu sebuah negara yang wujud secara haram, ia tidak pun sepatutnya diwujud pun.  Itu memang tanah orang Palestine, orang Yahudi tolong berambus dari tanah tersebut. Di sini saya tak rasa orang Yahudi akan berambus dari sana, dan secara teknikal, Palestine tidak diiktiraf sebagai satu negara. Palestine hanya mampu menjadi ahli pemerhati bukan Negara (non-member States ) di PBB. (sumber: Wikipedia)

          Walaupun saya pun mengakui banyak konspirasi dan tipu helah daam proses pembentukkan negara Israel dan masing-masing mendakwa mereka merupakan penduduk asli pada kawasan tersebut. Tapi secara terus terang, walaupun macam mana kita membantah dan ‘menghalau’ orang Yahudi keluar dari timur tengah, tapi adakah awak rasa orang Israel mereka akan semua  berhijrah dan keluar dari Negara itu? Adakah kita mampu menghalau semua orang putih, hitam, Latin, Asian di US keluar dari benua utara America, dan kembalikan tanah kepada orang Indiana di sana? Tidak kan? Jadi situasinya ialah maca ini: satu pihak memang tidak mungkin akan meninggalkan tempat itu, dan pihak yang satu lagi memang mahu pihak yang lain itu berampus dari sana, apa yang saya boleh ramalkan hanya konflik yang semakin tegang dan akhirnya akan menjadi konflik di aspek ketenteraan. Iaitu perang.

          Mungkin ada pihak yang rasa kurang senang dengan kenyataan bahawa pihak yang ‘jahat’ telah mengambil kesempatan, dan dengan alasan dia tak mahu ‘berambus’ , maka pihak yang dibuli terpaksa terima fakta itu dan hendak belajar cuba hidup aman dengan mereka. Ya, saya pun tak suka keadaan ini. Tapi hakikat dunia ini memang macam ni. Berdasarkan pengalaman saya membaca kisah percaturan politik dunia selama ini, dunia ini memang tiada keadilan, keadilan hanya wujud pada mereka yang kuat. Siapa kuat, siapa yang ada senjata yang paling canggih , dia lah hakim dan penentuan keadilan di dunia ini. Terukkan? Ya, sangat teruk.  

          Ada pihak yang mengecam bahawa tindakkan Israel kali ini sangat kejam, kerana pihak Hamas ‘hanya’ melancarkan satu peluru missile ke Israel, tapi mereka membalas bertubi-tubi serangan ke atas kawasan Gaza. Adakah ini adil? Tidak, langsung tidak. Tapi adakah Israel akan membuat pengiraan yang tepat dengan Hamas, dan mengatakan:

“ok, awak mencederakan saya dua orang, maka saya akan balas awak juga dua orang”?
Tidak, mereka akan balas dengan tindakan ketenteraan yang lebih keras, lebih kuat dan lebih kejam. Mungkin bagi penduduk satu dunia , tindakan ini sangat kejam. Tapi kerajaan Israel tidak perlu bertanggungjawab kepada penduduk sedunia, mereka hanya perlu memenuhi permintaan rakyat negara mereka sahaja. Dan satu lagi, kalau negara Israel diserang oleh tentera Hamas dan mereka tidak lawan balik (biarpun hanya satu peluru missile sahaja), maka kerajaan mereka akan dianggap lemah oleh rakyat mereka dan rakyat mereka akan memilih pemimpin yang lebih kejam dan keras dalam memimpin negara mereka. Kalau keadaan ini berlaku, akhirnya Israel akan melancarkan serangan tentera besar-besaran ke atas Gaza juga, mungkin lebih ganas. Maka ada pihak analisis yang berkata, bahawa serangan keras ke atas Gaza kali ini ialah tindakan perdana menteri Israel yang cuba memancing undi rakyatnya dalam pilihan raya yang akan datang pada awal tahun depan.

          Ataupun kita cuba bayangkan kita hidup di sebuah negara, di mana jiran negara kita sentiasa cuba memusnahkan kita dan mendakwa bahawa bekas pemimpin negara kita merampas tanah air mereka. Adakah kita akan berharap pemimpin negara kita agar berambus dari tanah air kita, dan tidak melawan balik walaupun diserang oleh jiran kita ? saya rasa tidak logik kalau kita berfikir macam ni.

          Mungkin setelah anda membaca post ini sampai sini, anda berasa saya ni macam ‘menyokong’ dasar Israel ini. Tidak, pendapat saya kecil sahaja, saya tidak berharap dunia ini wujud peperangan , tidak kisah di mana-mana atau antara siapa-siapa pun dalam dunia ini. Maka saya pun berharap orang di timur tengah sana dapat hidup dengan aman dan damai. Tapi apa yang kita tahu orang Yahudi memang tidak akan meninggalkan kawasan Israel, dan saya tak kisah negara mereka ini negara haramkah atau negara tipu kah, mereka sah tidak akan meninggalkan tempat itu. Kalau perjuangan Hamas masih nak “memadamkan Negara Israel dari peta dunia”, dan seperti apa yang kita tahu, orang Yahudi pun tidak akan berganjak pun dari tanah Israel, apa yang kita boleh ramalkan , ialah peperangan. Dan apa yang menyedihkan, kalau berlaku peperangan, negara Israel yang jauh lebih canggih kelengkapan senjatanya, akan menjahamnam penduduk Palestine dengan kejam. Dan masa itu, kita akan mempunyai lebih banyak gambar yang kejam untuk di-sharekan di FB.

          Di samping isu ini, apa yang menyedihkan saya sedikit ialah gambar kemusnahan Gaza kali ini hanya dikongsi oleh kawan Melayu saya di FB, kawan Cina saya sangat jarang berkongsi pasal isu ini. Masyarakat Cina sini lebih ambil berat terhadap kisah di negara orang China seperti Hong Kong, China, dan Taiwan. Ini yang buat saya merenung dalam, bahawa adakah masyarakat di Malaysia masih masing-masing mengambil berat tentang isu yang lain?
Adakah Orang Cina hanya ambil berat pasal cerita di Hong Kong, China, dan Taiwan, manakala Orang Melayu hanya mengambil berat pasal cerita di dunia negara Islam? Dua pihak ini tidak pernah berkongsi pendapat. Walaupun kalau kita melihat secara terperinci, nilai teras yang masing-masing mengambil berat ialah sama, iaitu seperti nilai kemanusiaan, anti perang, kasih sayang dan saling memahami antara negara dan sebagainya. Agak sayang keadaan yang ‘berpolar’ ini berlaku di negara kita. Kan bagus kalau masing-masing boleh bertukar cerita dan pendapat?
J

Versi dalam Bahasa Cina: 道理在拳頭硬的仆街那裡












No comments:

Post a Comment