Pada hari Isnin yang lalu, saya terlihat sebuah video klip ceramah yang dipersembahkan oleh Cik Ceylyn Tay dalam youtube. Antara banyak hujah yang dipersembahkan dalam ceramah tersebut, saya agak tertarik dengan teori ‘keadilan’ yang dibentangkan oleh beliau. Dalam ceramah tersebut, beliau mencadangkan ‘keadilan’ dalam ekonomi Malaysia hanya akan tercapai sekiranya kekayaan negara ini dibahagi mengikut kadar peratusan kaum di negara ini. Menurut Ceylyn, Malaysia mempunyai peratusan orang Melayu/Bumiputera sebanyak 60%++, maka kekayaan negara seharusnya dibahagikan sebanyak 60% kepada orang Melayu.
Dalam ceramah tersebut , Ceylyn menggunakan epal sebagai alat untuk menjelaskan teori ‘keadilan’. Menurut Ceylyn, jikalau kita mempunyai 10 biji epal, maka cara pengagihan ekonomi yang ‘adil’ dalam Malaysia ialah mengikut kadar peratusan kaum. Maka dengan ini, orang Melayu/Bumiputera akan dapat 6++ biji epal, Cina ambil 2.5 biji epal dan India ambil epal yang selainnya.
Walaubagaimanapun, saya kurang setuju dengan teori beliau dan ingin mengemukkan pandangan saya sendiri terhadap konsep ‘keadilan’.
Pertama, saya berasa hairan kenapa pengagihan kekayaan negara ini mesti berdasarkan perkauman? Kalau kekayaan negara ini dibahagi mengikut peratusan perkauman, apakah ini bermaksud kadar pembayaran cukai negara ini juga perlu ditanggung mengikut peratusan kaum? Ataupun jika sesuatu hari negara ini mengalami krisis , adakah pemberat tanggungjawab setiap rakyat dalam usaha membantu negara mengatasi krisis ini juga perlu dibahagikan mengikut peratusan kaum? Seterusnya saya ingin mengutarakan satu persoalan iaitu “Mengapa pembahagian kekayaan negara dengan adil adalah penting”? Saya berpendapat bahawa pembahagian kekayaan negara dengan adil dapat membasmi kemiskinan yang wujud dalam negara ini (ini juga merupakan objektif utama DEB ketika ia mula-mula diperkenalkan). Namun, pembahagiaan kekayaan negara dengan cara yang mandatori (tak kisah lah factor pembahagian yang mandatori berdasarkan perkauman kah, agama kah, kelas masyarakat kah…), bukan sahaja tidak mampu mengatasi masalah kemiskinan di Malaysia malah akan membuat keadaan ekonomi Malaysia menjadi lebih teruk.
Ideologi komunisme yang dikemukkan oleh Karl Max dulu juga mengamalkan prinsip membahagikan kekayaan negara secara mandatori. Max cuba menghapuskan kemiskinan dalam masyarakat dengan formula berikut:
“kekayaan negara/populasi negara=semua orang adil dan sama kaya”
Namun, apakah yang berlaku kepada semua negara-negara Komunisme di dunia selepas WW2? Semua negara komunisme hampir bankrap. Ini menjelaskan membasmi kemisikinan dengan pembahagian kekayaan negara dengan cara mandatori merupakan cara yang tidak akan berjaya!
Penjelasannya sangat mudah sahaja. Kalau kekayaan negara secara mandatori perlu dibahagikan kepada sesetengah orang mengikut faktor-faktor yang tertentu, maka ini membawa maksud ‘keputusan akhir telah wujud sebelum perlawanan bermula’. Kalau secara mandatori 60% kekayaan negara perlu diagihkan kepada orang Melayu, maka ini bermaksud tidak kira orang Melayu berkerja dengan kerajinan 100% ataupun 30% sahaja, mereka tetap akan mendapat kekayaan Malaysia sebanyak 60%. Perkara yang sama juga berlaku kepada orang Cina, mereka tetap akan menikmati kekayaan negara sebanyak 25%. Selain itu, tidak kira betapa rajinnya orang Cina berkerja, mereka hanya mampu menikmati kekayaan negara sebanyak 25%. Fenomena ini akan menghasilkan suatu kitaran yang tidak sihat di mana kumpulan yang mendapat bahagian yang banyak akan berasa mereka dapat memperoleh kekayaan dengan senang, jadi kenapa nak susah-susah berkerja? Kumpulan yang mendapat bahagian yang sikit juga akan berasa tidak kira macam mana rajin mereka bekerja pun, mereka tetap akan mendapat bahagian yang sikit, jadi buat apa mereka nak bersusah-payah berkerja juga? Maka akhir sekali, masing-masing tidak mahu kerja dan daya saing negara akan jatuh sekaligus melumpuhkan pembangunan ekonomi negara.
Maka, pembahagian kekayaan negara dengan adil dalam konteks saya ialah ‘Keadilan Sosial’. Keadilan bukan dilihat pada hasil pembahagian, tetapi proses pembahagian. Dalam masyarakat yang adil, setiap orang dapat mengumpul harta mereka dengan berkerja bersungguh-sungguh. Dalam masyarakat yang adil, semakin rajin seseorang itu berkerja, maka semakin tinggi peluangnya untuk menambahkan kekayaannya. Dalam masyarakat yang adil, setiap orang mampu bersaing dengan antara satu sama lain demi mengubah nasib sendiri. Dalam masyarakat yang adil, mobiliti sosial yang tinggi akan berlaku. Orang yang berada dalam kelas bawahan masyarakat boleh maju ke kelas tengah atau atas menerusi usaha mereka. Disebaliknya orang yang berada dalam kelas atasan masyarakat akan jatuh ke kelas bawahan jikalau mereka malas dan leka. Dalam masyarakat yang adil, orang yang ‘kalah’ dalam persaingan tetap akan dilindungi oleh sistem masyarakat (contohnya agensi NGO atau kerajaan yang memberi bantuan kebajikan kepada orang yang menggangur , ibu tunggal dan sebagainya), agar tidak perlu mengalami kelaparan dan lain-lain masalah kehidupan.
Pembahagiaan kekayaan yang adil melalui prinsip ‘Keadilan Sosial’ mungkin tidak dapat menghasilkan masyarakat di mana rakyatnya semuanya sama-sama kaya (ini tidak mungkin berlaku), tetapi melalui pembahagian kekayaan negara dengan adil, kestabilan negara dapat dijamin. Hal ini kerana setiap orang yang miskin tahu nasib mereka dapat berubah jika mereka berkerja dengan rajin dan gigih. Setiap satu usaha lebih diberikan , setiap satu akan dipulangkan dengan ganjaran yang lebih. Semua orang miskin dan golongan kelas bawahan mampu bersama-sama bersaing dengan orang lain di bawah suatu sistem yang adil demi mengubah nasib masing-masing.
Keadilan seperti inilah yang saya rasa bermakna. Keadilan seperti inilah yang seharusnya menjadi cita-cita masyarakat Malaysia. Tetapi bukan awak bagi tahu saya kerana awak dari kaum yang minority, maka padan muka awak hanya diagihkan kekayaan negara secara mandatori dengan peratusan yang sikit.
No comments:
Post a Comment