‘Senaman Punggung’ yang ditarikan di depan rumah Dato Ambiga oleh sekumpulan bekas tentera baru-baru ini, mengundang banyak persoalan daripada punggung-punggung yang dipamerkan. Senaman ini selain ingin menyindir pendirian Ambiga yang menyokong perjuangan LGBT di Malaysia, juga membawa banyak maksud tersirat yang lain.Selain itu, pihak yang mempamerkan persembahan yang menarik terhadap Ambiga pada kali ini, bukan daripada pihak yang berjuang di medan politik seperti PERKASA atau Pemuda UMNO, tetapi daripada bekas pasukan beruniform negara, saya berpendapat bahawa mereka ingin menyampaikan beberapa message berikut kepada rakyat Malaysia.
Perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April yang lalu, mendapat sambutan hangat daripada jutaan rakyat Malaysia. Namun demikian, perhimpunan duduk bantah tersebut memberi makna yang berlainan kepada pihak kerajaan dan rakyat jelata. Bagi rakyat, peristiwa tersebut merupakan titik tolak perkembangan sistem demokrasi negara kita ke arah yang lebih matang, di mana rakyat berani bangkit menyatakan pendirian mereka kepada pihak berkuasa dengan cara yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan. Tetapi keadaan yang berlawan berlaku di pendirian kerajaan. Peristiwa di mana rakyat bangkit ini, ditafsirkan oleh pihak berkuasa sebagai ‘rakyat cuba melawan, rakyat cuba merampas kuasa’. Sebagai suatu contoh, di mana dalam suatu keluarga, si bapa yang mempunyai kewibawaan yang tidak pernah dicabar. Tiba-tiba dalam satu hari, kata-kata dan arahannya ditolak oleh anaknya yang telah matang. Cuba bayangkan apa yang bapa tersebut akan rasa? Semestinya terkejut dahulu, dan selepas itu berasa sangat marah sekali, kerana kewibawaannya yang selama ini telah tercabar! !
Keadaan yang samalah berlaku kepada pihak kerajaan kita. Mereka yang selama ini telah biasa menjadi ‘bapa dalam rumah yang mempunyai kata putus dalam setiap perkara’, tiba-tiba ‘dicabar’ oleh rakyat, semestinya mereka akan berasa terkejut dan marah. Pasukan beruniform kita yang selama ini ditakuti oleh rakyat, juga mengalami kejutan psykologi yang besar dalam peristiwa Bersih 3.0. Setelah semua amaran keras telah diberikan kepada rakyat agar tidak melibatkan diri ke dalam pehimpunan Bersih 3.0, rakyat yang masih ‘berdegil’ dan masih mara ke tempat perhimpunan duduk bantah, telah ‘melukai’ kewibawaan pasukan beruniform kita. Dalam keadaan psykologi yang tercabar dan ‘terluka’, maka membuat pihak polis kita lebih kuat mengejami para rakyat dalam perhimpunan duduk bantah yang lalu.(Pengulasan yang lebih terperinci terhadap psykologi pihak polis memukul rakyat dalam Bersih 3.0, sila click Psikologi disebalik keganasan Polis dalam Bersih 3.0)
Pengerusi Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) , Mohd Ali Baharom mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa hari ini hanya 15 orang yang datang ke rumah Ambiga, dan hendak Ambiga membayangkan macam mana keadaannya kalau ‘semua’ Veteran Tentera Melayu datang. Di sini saya melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Encik Ali ini sebagai ‘tunjuk kuasa’ kepada Ambiga (lebih tepat lagi ialah kumpulan Bersih yang dipimpinnya) bahawa ‘siapa sebenarnya yang mempunyai geng yang banyak ’ atau ‘siapakah yang boss sebenarnya’. Hal ini demikian kerana jumlah orang ramai yang berjaya dikerah oleh Bersih telah menyakiti ‘hati’ mereka yang berkuasa, maka mereka cuba menjawab ‘cabaran’ itu dengan menunjuk kuasa dari segi bilangan orang yang lebih banyak.
Selain itu, ketika Ambiga cuba melegakan keadaan dengan memberi minuman 100 Plus kepada para ‘athlete senaman’ kita, niat baik itu ditolak oleh Encik Mohd Ali Baharom dengan alasan "Kami orang Melayu orang Islam, kami minum air suam". Walaupun saya bukan seorang penganut agama Islam mahupun cendekiawan yang mengkaji ilmu agama Islam, tapi saya pasti bahawa dalam ajaran agama tersebut tidak pernah melarang penganutnya meminum 100 Plus. Saya membuat andaian bahawa kenyataan itu dikeluarkan semata-mata hendak mewujudkan perasaan yang bertentangan antara rakyat. Encik Ali cuba mengasingkan orang Melayu, tentera dan orang Islam dengan Ambiga dan para penyokong Bersih. Mereka cuba mewujudkan ‘benteng’ untuk memisahkan kedua-dua pihak ini. Dan lebih awal dulu, Fatwa terlebih dahulu telah mengumumkan bahawa perhimpunan jalan raya itu ialah kelakuan yang ‘haram di sisi ajaran Islam’. Kerajaan BN cuba menghalang angin perubahan penduduk kawasan kampung dan pedalaman dengan agama dan ‘benteng antara kaum’. Mereka cuba menggunakan cara ini bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan mereka dalam pentadbiran negara, ke arah melawan ‘musuh’ yang tidak sebenarnya wujud. Jika kalian semua masak dengan keadaan iklim politik negara, maka pasti anda tidak berasa asing dengan fenomena di mana kata-kata yang ekstremis akan sentiasa wujud, kalau pihak berkuasa berasa kuasa mereka tercabar. Oleh itu, kita seharusnya bersedia menghadapi pelbagai tomahan dan kata-kata yang tidak bertanggungjawab yang bakal dikeluarkan, yang semata-mata hendak memutuskan hubungan antara rakyat, pada masa yang akan datang.
(Bagaimanapun, pengumuman Fatwa itu dibidas oleh Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam artikel ini: Majlis Fatwa : Jangan Berjalan Sebelah Kaki, Nanti Pincang Mengatur Langkah)
‘Senaman Punggung’ selain kelihatan lucu , juga mencerminkan bahawa pihak berkuasa kita gagal menjawab semua soalan yang dilemparkan oleh rakyat. Sebagai contoh, kalau awak sedang berdebat dengan seseorang, tetapi awak menyedari yang awak ini kehabisan hujah dan idea, akan tetapi awak tidak ingin mengaku kalah, maka apa yang awak mampu lakukan ialah membuat serangan peribadi kepada lawan awak atau melakukan sesuatu yang bersifat samseng. Awak berharap kelakuan ini dapat mengalihkan perhatian orang lain di mana anda telah kehabisan hujah. Dari kes samseng menyerang para pelajar yang ‘occupy Dataran Mederka’, menjual Burger di depan rumah Ambiga sehingga tarian seksi punggung di rumah beliau, menunjukkan ketandusan idea dan jawapan yang mampu diberi oleh kerajaan kepada rakyat yang semakin hari semakin tinggi permintaannya. Selain itu, saya boleh terima kalau tarian punggung yang bodoh ini dilakukan oleh badut politik seperti PERKASA, tetapi ia amat mengecewakan saya kalau bekas tentera yang melakukan ‘senaman’ macam ini. Bukankah tentera itu merupakan suatu pekerjaan yang agung dan seharusnya mendapat 100% penghormatan daripada semua orang tidak mengira fahaman politik? Di samping berasa sedih atas bekas tentera negara kita menghina nama sendiri dengan gelagat bodoh begini di depan rumah seorang wanita yang lemah, saya juga berasa kecewa dengan kerosakkan yang wujud dalam jentera negara kita.
No comments:
Post a Comment