Friday, January 27, 2012

Negara yang tiada Logik

FLOM kita yang terkenal dengan sifat murni berjimat-cermat telah dilaporkan oleh pihak media Australia bahawa beliau ber-shopping di Australia pada tahun baru Cina ini. Mengenai berita sampah yang cuba menjatuhkan imej negara kita, sebenarnya FLOM kita hanya perlu menunjukkan bukti bahawa beliau tak pernah membeli belah di sana sudah memadai untuk membidas dawaan liar pihak media Australia. Namun demikian, apa yang menghairankan ialah media tempatan pada beberapa hari ini seolah-olah tidak lagi berminat mempertahankan kebenaran berita, tetapi lebih berminat kepada kecenderungan seks kolumnis akhbar Australia yang melaporkan berita shopping ini. Apabila mengetahui isu ini, mungkin kalian semua berasa hairan, apakah kaitan antara adakah FLOM ber-shopping di Australia dengan kecenderungan seks kolumnis tersebut? Apakah kaitannya dengan kebenaran berita ini jikalau kolumnis tersebut mencintai lelaki atau perempuan? Apakah berita yang dilaporkan oleh seorang homoseksual adalah palsu?



Jikalau kalian berasa keliru dengan fenomena ini dan berasa hairan, maka ini menunjukkan bahawa anda masih tidak mencintai dan memahami norma masyarakat negara ini . Adalah menjadi norma masyarakat Malaysia yang tidak digalakkan berfikir secara logik dan menganalisis sesuatu isu dengan sikap yang rasional. Saya akan kemukakan beberapa contoh bagi menyokong hujah saya.


Pada tahun yang lalu, kolumnis akhbar Cina Malaysia Encik Ou Yang Wen Feng telah kembali ke Malaysia dan ingin melangsungkan perkahwinan beliau bersama teman lelakinya di sini. Encik Ou Yang selain aktif mengkritik arena politik Malaysia dengan menulis artikel di akhbar, beliau juga merupakan seorang yang giat memperjuangkan hak LGBT di Malaysia. Pastor Ou Yang yang merupakan doktor falsafah dalam bidang teologi pernah mengemukakan pelbagai hujah untuk membidas pihak yang membantah pergerakkan LGBT. Namun tidak ada seorang pun yang cuba melawan hujah beliau dengan sikap yang logik dan rasional, masing-masing masih selesa di gelenggang sendiri dengan menyerang Pastor Ou Yang dengan teknik yang sama, iaitu ‘melawan ajaran agama’, ‘melawan norma alam’, ‘menjijikan’ dan sebagainya. Antara banyak hujah yang membantah, saya berasa hujah yang paling klasik ialah ‘dia kan gay, biasalah gay sokong gay’. Apakah masalah kalau gay sokong gay? Kalau gay tidak boleh sokong gay, adakah ini bermaksud orang Cina tidak boleh sokong sekolah aliran Cina? Perempuan tidak boleh menyokong pergerakkan Feminis? Persoalan seperti ini tidak pernah dikemukakan , semua orang masih bergembira dengan sifat yang tidak perlu berfikir, terus menyerang orang dalam kumpulan LGBT tidak bermoral.



Contoh dalam politik pula, sebelum ini YB daripada DAP pernah mencadangakan bahawa jika PR berjaya mengambil alih pimpinan negara dalam piliharan raya yang akan datang, mereka akan membuat rombakkan dalam sistem kakitangan awam Malaysia. Hal ini demikian kerana setiap tahun belanjawan Malaysia, banyak peruntukkan telah digunakan dalam kakitangan awam Malaysia, maka langkah yang positif harus diambil sebelum kakitangan awam Malaysia ini menjadi beban besar kepada Malaysia. Tetapi tak tahu kenapa, isu ini yang sebenarnya berkaitan dengan pengurusan kewangan dan sumber manusia tiba-tiba menjadi isu perkauman. Isu yang cuba menyelamatkan masalah kewangan Malaysia tiba-tiba menjadi isu yang DAP anti orang Melayu. = = Apa-apa sahaja isu yang bertukar menjadi perkauman , hujah lain akan automatik menjadi tidak bermakna. Akhirnya semua pemimpin PR terpaksa mengeluarkan perlembagaan Malaysia dan berjanji akan melindungi hak kakitangan awam Malaysia dan bla… tapi adakah sesiapa yang bertanya apa kaitannya menyelamatkan kewangan negara dengan anti orang Melayu? Sekali lagi, tiada.

Lagi dekat lagi ialah isu seorang pemimpin Parti Gerakkan yang mengeluarkan isu keadilan (rujuk post saya Keadilan bukan dilihat pada hasil pembahagian, tetapi proses pembahagian). Disebabkan hujah beliau tidak mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna internet, maka pelbagai tomahan telah dilemparkan ke arahnya. Pelbagai kata-kata kesat dan nama haiwan betina telah digunakan oleh pihak yang tidak suka hujah beliau, malah ada pihak yang sanggup menggunakan cara gangguan seksual dan peras ugut untuk menyerang beliau. Secara terus terang, saya pun kurang setuju dengan ceramah beliau, namun jika saya mahu membidas hujannya, saya terpaksa bidas hujahnya satu per satu tetapi bukan dengan cara yang kurang ajar ini. Saya rasa pihak yang tidak setuju dengan hujahnya mesti mampu mengatakan bahagian mana yang mereka rasa tidak setuju, jika ada bahagian yang tidak setuju semestinya dapat mengeluarkan hujah yang lebih bernas dalam melawan hujahnya, tetapi bukan memperolehi ‘kemenangan’ dengan melemparkan semua tomahan kepadanya. Saya nak kemukakan satu persoalan, biarpun, biarpun Cik Ceylyn merupakan seorang yang negatif seperti apa yang dituduh oleh para pengguna internet, namun adakah hujahnya akan menjadi tidak betul secara automatik? 

Selepas kalian dah memahami norma masyarakat negara ini, maka adalah mudah memahami mengapa akhbar berminat kepada kecenderungan seks kolumnis akhbar Australia yang melaporkan berita shopping ini. Sebabnya senang sahaja, jika kolumnis tersebut merupakan seorang yang gay, maka hujah beliau secara automatik menjadi ‘tidak sah’ di kalangan masyarakat Melayu negara kita yang traditional. Hal ini demikian, seorang gay akan dipandang sebagai ‘orang yang berdosa’, ‘orang yang tidak bermoral’, maka kenyataan seorang yang ‘tidak bermoral’ tidak akan dipeduli oleh orang lain, biarpun kenyataan yang dileluarkan oleh orang yang yang ‘tidak bermoral’ ini ialah kenyataan yang benar. Inilah Malaysia yang saya cintai, satu negara yang tiada Logik.



No comments :

Post a Comment