Friday, October 14, 2011

Perkauman, persoalan yang palsu?


Pernahkah anda terfikir bahawa isu perkauman di Malaysia merupakan satu isu yang “palsu”? Maksud saya, punca segala masalah yang berlaku kepada negara kita pada hari ini bukan disebabkan oleh persoalan perkauman, tetapi sistem yang wujud. Contohnya seperti isu polis mengambil rasuah, kita lebih cenderung meringkaskan fenomena rasuah ini kepada: sesetengah kaum memang suka makan suap atau sesetengah kaum memang suka menyelesaikan masalah memberi rasuah. Namun, punca kepada scenario rasuah ini seperti usaha yang lemah dari Suruhanjaya Anti Rasuah dalam memerangi rasuah, pihak berkuasa yang tidak tegas dalam menjalankan tugas, atau kesedaran sivik rakyat yang rendah tidak pernah diambil berat oleh kita.


Sememangnya politikus suka memakai baju “perkauman” untuk mengaburi mata para rakyat. Sebagai contoh, bagi politikus yang merampas harta negara, mereka suka melabelkan diri mereka sebagai “pejuang kaum”, dan menuntut sagala perbuatan mereka adalah demi kaum mereka sendiri. Kebaikan mereka menyatakan sedemikian ialah, pertama kalau skandal mereka makan suap telah didedahkan oleh pihak lain, mereka yang pecah amanah ini masih boleh berselindung di bawah “payung perkauman”. Hal ini demikian kerana segala isu yang berlaku di Malaysia apabila dikaitkan dengan perkauman, perkara tersebut akan secara automatik menjadi “sensitif “. Perkara utama (rasuah )akan diabaikan oleh rakyat dan digantikan dengan ketegangan atau sikap syak-wasangkan antara kaum. Selaim itu, kalau pihak yang membocorkan rahsia pecah amanah seseorang politikus adalah dari kaum yang sama, maka pelbagai tomahan akan dilempar ke arah pihak yang memecahkan rahsia orang. Antara tomahan yang paling popular digunakan ialah “pengkhianat kaum”, “pembelot bangsa” dan sebagainya. Maka, kerana takut dilabelkan sebagai “pembelot bangsa”, biasanya setiap orang akan member toleransi yang lebih besar kepada pihak yang mengambil rasuah (atau melakukan apa-apa kesalahan) yang berasal daripada kaum yang sama. Oleh sebab itu, semua politikus boleh menggunakan label “pejuang kaum” atau “pembelot bangsa” dalam menghadapi segala tuduhan yang tidak berpihak kepada mereka. Teknik ini boleh membuat hubungan rakyat yang berbilang kaum menjadi buruk, tetapi mereka pula boleh terus kekal menghabiskan harta negara tanpa disedari.

Walaubagaimanapun, saya tidak bermaksud yang negara kita ini 100% bebas daripada masalah perkauman, tetapi saya lebih mengambil berat kepada kenapa hujah-hujah yang bersifat perkauman ini boleh mendapat sambutan yang hangat dalam Malaysia? Pada pendapat saya, hujah-hujah yang bersifat perkauman boleh menjadi popular kerana pembahagian ekonomi di negara ini tidak adil. Para politikus selalu cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan mereka dalam menyelesaikan masalah dalam negara ini atau cuba menutup kesalahan yang mereka lakukan dalam pentadbiran negara, menyalahkan sesuatu masalah yang sebenarnya wujud dalam sistem ekonomi atau politik negara kepada isu perkauman. Kenapa ada orang percaya teori yang mencadangkan, dalam negara ini, kalau orang Melayu dapat lebih sedikit, maka orang Cina akan dapat kurang sedikit. Teori ‘Zero Sum’ ini mendapat sambutan yang panas kerana kek ekonomi negara kita kecil (kenapa kecil? Dah dimakan oleh mahluk-mahluk yang tamak). Kalaulah kek ekonomi ini cukup besar, maka setiap orang akan dapat bahagiannya, dan negara ini akan wujud satu masyarakat yang dapat menjamin kesejahteraan rakyat. Jika keadaan ini menjadi realiti, nescaya api perkauman tidak dapat dinyalakan langsung.


Sebagai contoh, kerusuhan Mei yang berlaku di Indonesia pada tahun 1998, faktor utama tragedi ini bukan isu perkauman tetapi ekonomi. Pada masa itu , segelintir orang Cina yang mengawal nadi utama ekonomi negara Indonesia, tambahan lagi krisis ekonomi yang melanda negara Asia Tenggara pada tahun yang sama, membuka ruang kepada rakyat Indonesia yang dihasut oleh pihak konspirasi yang tertentu menjadi marah dan mara ke jalan dan akhirnya mengakitbatkan antara tragedi yang paling teruk pada akhir kurun 20. Walaupun nadi utama ekonomi satu negara dikuasai penuh oleh sesetengah kaum sahaja adalah fenemena yang sangat tidak sihat, namun isu ini bukan masalah perkauman tetapi masalah ekonomi negara yang pro-kroni. Jika semua kesalahan dituju kepada perkauman, saya yakin tidak kisah betapa banyak kali revolusi dilakukan, masalah yang sama tetap akan wujud dalam negara tersebut. Contoh yang satu lagi ialah negara Jerman pada Perang Dunia yang kedua, orang Jerman yang sememangnya terkenal dengan sikap rasional dan tinggi disiplin, masih terjebak ke kancah kegilaan ideologi Nazrism. Antara faktor penting ialah keadaan ekonomi negara Jerman yang hampir lumpuh setelah mereka tewas dalam Perang Dunia yang pertama, keadaan ekonomi negara Jerman yang amat teruk ini membuat rakyat hilang sabar dan akhirnya memberi peluang yang besar kepada kebangkitan rejim Hitler. Hal ini bukannya “semangat perkauman ” rakyat Jerman yang mengakibatkan berlakunya Perang Dunia yang kedua. Orang Cina mempunyai satu pepatah yang berbunyi “kesedaran maruah hanya akan dilahirkan dalam keadaan yang kenyang dan aman”. Pepatah ini membawa maksud jikalau rakyat tidak dapat rasa hidup mereka aman (ekonomi tidak baik), maka kemungkinan mereka menjadi “gila” adalah sangat tinggi. Hanya dengan melahirkan satu negara yang mampu menjaga kabajikan rakyat dan dapat membuat rakyat berrasa kehidupan mereka dalam negara ini terjamin, maka semua pemikiran yang ekstremis akan dibunuh dalam peringkat permulaan.
Salah satu masalah yang besar dalam negara kita ialah kelemahan struktur ekonomi negara kita. Antara masalah yang saya rasa perlu diselesaikan dengan segera ialah: monopoli ekonomi negara oleh sesetengah Consortium,,Kadar gaji terendah untuk para pekerja, transformasi industri negara mengikut kelebihan yang ada pada Malaysia dan sebagainya. Kalau rakyat kita masih berasa masalah yang paling besar di Malaysia ialah perkauman, dan terus berasa berpuas hati jika mendapati kerajaan yang baru menubuhkan pasukan pentadbiran yang terdiri daripada pelbagai kaum. Tetapi, perkara yang lebih penting seperti mendesak kerajaan melakukan rombakkan dalam sistem ekonomi mahupun politik negara terus diabaikan oleh rakyat, maka masalah yang menghantui negara kita pada sekarang masih akan berlaku pada masa yang akan datang.
Yang paling menyedihkannya ialah pada masa itu, kita masih berasa masalah negara kita ialah “perkauman” dan masih menyeru rakyat sama-sama bersatu padu…

(p.s. lagu dalam video klip di atas saya secara kebetulan terdengar di kedai makan, saya rasa cross-over antara dua penyanyi yang berlainan kaum ini memang hebat! Mungkin ini formula yang diperlukan oleh Malaysia. ^^ )

4 comments :

  1. .....
    bagi saya..saya suka byk kaum di malaysia..sbb kita boleh kenal mengenali..bertoleransi dll..kalau gaduh2 pun biarlah gaduh2 yang boleh diselesaikan tnpa berlaku insiden2 yang menghayatkan hati
    saya rasa kita patut tanamkan perasaan sayang kepada bangsa kita..sbb tu nilai jati diri kita..tp dalam masa yang sama..x payah la nak bangga2 macam kaum kita saja yang paling hebat di dunia dan perlekehkan kaum lain..masing2 ada kelebihan sendiri..kita kena belajar sikap terima cara kaum lain..dan dalam masa kita apply nilai2 budaya kaum kita

    *kita disini melambangkan rakyat malaysia..bukan awak atau saya..:D

    ReplyDelete
  2. yaya....betul betul...paling bagus ialah kahwin sama-sama...XD

    ReplyDelete