Friday, April 20, 2012

Apa yang kita sepatutnya takut ialah ketakutan itu sendiri

Bekas President USA Franklin Delano Roosevelt pernah berkata, “Only Thing We Have to Fear Is Fear Itself”. Saya rasa adalah sangat sesuai jika ungkapan ini diletakkan ke atas bahu rakyat Malaysia. Sering, ketika saya mengeluarkan pandangan saya terhadap masalah politk yang berlaku di negara ini, kawan-kawan saya yang prihatin akan ‘memberi amaran’ kepada saya agar ‘jangan cakap yang bukan-bukan’, kalau tidak nanti ISA akan menangkap saya. Di sini saya memang ingin mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan BN yang begitu berjaya sekali dalam usaha mewujudkan suasana ‘White Terror’ dalam negara ini. Perasaan takut terhadap kerajaan telah meresap ke dalam inti bati setiap rakyat di negara ini, sehingga tiada sesiapa yang berani sangat nak mengkritik dasar kerajaan dengan terbuka. Saya berpendapat bahawa ketakutan yang rakyat alami terhadap kerajaan ini, merupakan faktor terbesar kerajaan yang zalim dapat terus berkuasa selama ini.


Dalam kehidupan seharian, ketika kita melahirkan pendapat kita terhadap Malaysia yang bertentang dengan dasar kerajaan di dalam internet mahupun tempat terbuka, kita secara automatik akan berasa takut dan menghentikan kata-kata atau tindakan kita, sedangkan pihak berkuasa belum lagi melakukan apa-apa lagi terhadap kita. Mungkin hanya satu online petition yang memerlukan tandatangan sudah cukup untuk membuat kita berasa takut jika objektif petition tersebut kelihatan tidak bergitu ‘friendly’ kepada kerajaan. Dalam hati kita, perasaan takut akan sering menakutkan kita dengan berkata “jangan cuba sesuatu yang bodoh, nanti ISA datang dan menangkap kamu”. Dalam keadaan takut, kita tidak mampu berfikir dengan jelas dan bernas. Kita tidak tahu, kerajaan tidak boleh menggunakan akta ISA untuk menangkap kita biarpun rakyat mengeluarkan hujah yang bercanggah dengan kerajaan. Kita juga menggangap diri kita ini terlalu popular, sehingga kerajaan akan mengambil berat terhadap setiap hujah yang kita keluarkan setiap hari. Kerana perasaan takut, kita tidak mampu menganalisis sesuatu isu dengan baik. Kita tidak tahu sebenarnya dalam dunia ini tiada satu pun kerajaan yang tidak dimarah oleh rakyatnya. Ataupun lebih tepat lagi, “memang pun kerajaan adalah digunakan sebagai alat melepaskan geram oleh rakyat, memang halal pun kerajaan dimarah oleh rakyatnya”.


Dalam komik anti-utopia 《V for Vendetta》, terdapat suatu ungkapan yang berbunyi “People should not be afraid of their governments. Governments should be afraid of their people.” Kenapa kerajaan akan berasa takut terhadap rakyat? Kerana kuasa kerajaan itu datang dari rakyat. Tanpa mandat daripada rakyat, kerajaan tidak mempunyai apa-apa pun. Perkara yang sama berlaku juga kepada rakyat, kalau rakyat kita mengenali kuasa sendiri, memahami bahawa diri sendiri merupakan boss kepada negara ini tetapi bukan kerajaan , sedar bahawa rakyat lah yang sebenarnya menjadi punca ketakutan kerajaan, barulah masa itu kita boleh dikatakan merupakan negara yang betul-betul demokrasi. 

Saya teringat kepada suatu cerita yang saya baca ketika kecil dahulu. Cerita itu bermula dengan suatu sarkas yang besar telah menangkap seekor gajah yang kecil. Mereka mengikat keempat-empat kaki anak gajah itu dengan tali di atas tiang. Mula-mula , anak gajah berasa marah dan cuba melepaskan diri daripada ikatan tersebut. Namun , tali itu terlalu kuat dan anak gajah tetap gagal memutuskan tali tersebut walaupun ia telah lama bercuba. Akhirnya anak gajah mengalah kalah dan tidak lagi cuba melarikan diri daripada ikatan tersebut. Anak gajah yang diikat itu terpaksa menerima segala arahan yang dibagi oleh pelatih binatang dalam sarkas itu dalam membuat pertunjukan. Masa berlalu dengan cepat, anak gajah telah membesar dan telah menjadi seekor gajah yang sangat gagah, namun tali yang di bawah kakinya masih tali kecil yang dulu. Gajah tersebut tidak tahu, dengan tenaga yang ia miliki sekarang, ia mampu memutuskan semua tali di kakinya dengan hanya satu tarikkan yang kecil sahaja. Tetapi pengalamannya yang gagal dahulu masih menghantuinya, ia tidak lagi berani nak melakukan percubaan lagi. Meskipun jaraknya terhadap kebebasan, hanya dibezakan dengan suatu tarikkan kecil yang ringan sahaja.

Saya rasa situasi kita pada hari ini agak mirip dengan gajah tersebut. Walaupun kita dahagakan kebebasan, namum ketakutan yang wujud dalam hati kita menolak semua daya usaha kita sebelum kita mampu mencubanya. Tali besi yang mengikat kita sehingga menjadi hamba bukanlah kerajaan yang zalim atau akta yang jahat, tetapi ialah perasaan takut yang telah lama bertakhta dalam hati kita.


No comments :

Post a Comment